KEGHAIRAHAN pasukan bola sepak tempatan memancing pemain sebagai persediaan menghadapi Liga Malaysia 2013 dianggap perkara baik oleh kebanyakan ahli kelab peminat/penyokong bola sepak Perak.
Namun, pada masa sama, mereka mahu Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) membuat pelaburan atau perbelanjaan berhemah agar sumber kewangan persatuan induk bola sepak negeri itu dapat disalurkan untuk program pembangunan bola sepak Perak.
Presiden Kelab Peminat Bola Sepak Perak (KPBP), Abdul Jamil Othman menganggap isu memancing pemain sebagai hak persatuan bola sepak untuk memperkuatkan pasukan masing-masing.
Menurutnya, terserah kepada persatuan bola sepak untuk membuat keputusan berkenaan pemilihan pemain kerana mereka mungkin mempunyai sumber kewangan kukuh.
"Setiap persatuan berhak buat pilihan pemain, namun mesti berlandaskan kemampuan kewangan masing-masing. Saya rasa Pafa ada kewangan mencukupi khususnya bagi menjaga kebajikan pemain.
"Bagi saya, pemain sedia ada sudah memadai untuk memperkuat pasukan Perak untuk musim 2012 nanti. Apapun, kewangan Pafa perlu kukuh kerana ia perlu disalur untuk program pembangunan bola sepak dalam negeri ini," katanya.
Presiden Perak Die Hard Fanz (DHF), Roslan Mat Baharom bersetuju dengan pendapat Abdul Jamil dan mengesyorkan peruntukan sedia ada diguna sepenuhnya untuk program pembangunan bola sepak Perak.
Beliau melihat pelaburan sedemikian lebih menguntungkan kerana dapat melahirkan pemain pelapis berwibawa untuk diketengahkan dan Perak tidak perlu berbelanja besar seperti pasukan lain.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan